Thursday, July 1, 2010

Selagi masih ada, bahagiakanlah...



Assalamualaikum wbt. Apa khabar? Harapnya, tidak kira urusan apa yang sedang kalian berdepan sekarang, moga Allah bersama kalian dalam setiap saat...

**********

"Huda, rambut bibik dah mula gugur", luah kakak saya suatu petang.
"Iya? Baru sehari kan...sudah nampak kesannya", balas saya.

Kenyataan kakak itu memang sudah dijangka. Chemotherapy, salah satu teknik rawatan yang digunakan untuk merawat kanser, melibatkan gabungan beberapa jenis drugs dan ia sememangnya akan memberi kesan sampingan.

Chemotherapy digunakan untuk membunuh, dan menghalang sel-sel daripada membiak. Apa yang tidak diingini adalah, rawatan ini turut menghalang pertumbuhan sel-sel baik yang diperlukan oleh badan seperti sel darah merah dan putih. Maka, badan pesakit akan lebih berisiko terhadap sebarang penyakit. Antara kesan sampingan chemotherapy adalah muntah, keguguran rambut, dan diarrhea.

Tetapi saya tidak ingin menulis panjang berkenaan teknik rawatan ini. Sesungguhnya ia adalah salah satu ikhtiar yang kita usahakan untuk merawat kanser, dan sebaik-baik Penyembuh adalah daripada Allah.

Inilah hikmah yang Allah ingin saya belajar ketika sedang bercuti tiga bulan di Malaysia ini. Menjaga nenek yang alhamdulillah hampir sembuh daripada sakit akibat jatuh, dan menjaga ibu saudara yang menghadapi kanser.

Neoadjuvant chemotherapy, iaitu rawatan chemotherapy sebelum surgery dilakukan, adalah salah satu teknik yang dilakukan untuk mengecilkan saiz ketumbuhan yang berada di dalam badan sebelum mengeluarkannya melalui pembedahan.

Saya sedar, apabila seseorang itu sudah memulakan rawatan ini, individu ini akan berdepan dengan endless form of treatment (bergantung pada kanser dan tahapannya). Melihat pada bilangan dan jenis ubat yang perlu diambil oleh ibu saudara saya, Allah...semoga Allah memberi kesembuhan kepadanya, agar dapat kembali bekerja dan bersama anak-anaknya.

Kepada anak-anaknya, juga kepada semua individu yang bergelar anak, inilah masanya untuk kita bermuhasabah, dan kita manfaatkan masanya untuk berbakti.

Selagi mereka masih ada, bahagiakanlah...

Sebagai anak, kita tidak pernah mampu untuk membalas jasa ibu bapa kita, sekalipun kita mampu untuk mengumpulkan segala harta di dunia ini untuk dihadiahkan kepada mereka.

Seringkali kita lihat lakonan di tv, juga realiti di dada akhbar mengenai anak derhaka, anak buang mak, anak pukul mak, dan bermacam-macam lagi. Ya, ini realiti. Dan golongan yang tidak berdepan dengan isu sebegini barangkali sukar untuk mempercayainya.

Aduhai, mengapa kamu sendiri yang menolak untuk hidup dalam redha mereka? Tahukah kalian, bahawa redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa kita? Takutilah kehilangan keberkatan hidup di dunia dan akhirat, hanya kerana kita gagal untuk taat kepada kedua mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra', ayat 23-24,

" Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya seperti mana mereka mengasihaniku ketika aku masih kecil".

Carilah masa, ambil lah peluang untuk berbakti. Sesungguhnya kita sangat 'butuh' pada redha mereka..

Ambil lah peluang, berikanlah perhatianmu ketika mereka jatuh sakit, kerana hanya kita, anak-anaknya yang terlintas di minda mereka.

Kongsilah kegembiraanmu, jua kedukaanmu bersama mereka, semoga mereka redha denganmu..

Berikan perhatianmu, selagi mereka masih ada..jangan bertangguh untuk mendapatkan redha mereka, kerana itu bermakna anda bertangguh untuk mendapat redhaNya..

Jagailah mereka selagi masih ada...bimbang kelak penyesalan menyelubungi jiwa jika hilang kesempatan...

****


Peringatan buat diriku yang sentiasa lupa..ku jaga dia ketika anak-anaknya masih tidak berkemampuan, sebagai latihan buat diriku untuk berdepan dengan situasi sebegini jika takdir Allah ibu atau bapaku yang ditimpa ujian sebegini..

Ya Allah, kami redha dengan ujianMu. Beri kami kesabaran dalam menghadapi ujianMu, dan hindarilah kami daripada berkeluh kesah atas ujianMu, dan limpahkanlah kami dengan rahmatMu dalam setiap nafas kami. Sesungguhnya hanya Engkau tempat kami bergantung...

No comments: