Tuesday, February 5, 2013

Hammi wal Hazan

Picture from bicarasufi2.blogspot.com

Allahumma inni a'uzubika minal hammi wal hazan.

Ya Allah, kami berlindung padaMu dari kegelisahan dan kesedihan. 

Resah dan gelisah.

Setiap jiwa pasti merasa turun dan naik pada setiap harinya. Harini gembira, esoknya berduka. Harini gelisah, esoknya tenang semula. Harini susah, esoknya mudah. 

Setiap perkara yang berlaku, segalanya dalam susunan Allah SWT. Segalanya ada di dalam takdirNya. Qada' dan qadarNya. Tetapi jiwa manusia ini hakikatnya lemah dan tidak berdaya, maka tatkala kesusahan datang menimpa, dunia ini terasa sempit, kosong, tiada tempat bergantung.

Maka perasaan resah dan gelisah terus-terusan menerjah ke segenap ruang hati. Menguasai akal fikiran dan melemahkan seluruh anggota jasad. Fokus minda hanya pada masalah yang sedang dihadapi, menyebabkan makan tidur terganggu, aktiviti seharian tergendala. Itu luarannya. Daripada segi dalamannya pula, degupan jantung pasti melebihi kadaran biasa, hormon adrenaline meningkat dan mempengaruhi seluruh sistem badan manusia. 
Fight or flight, begitulah dorongannya.

Saat ini, tiada apa yang diharapkan oleh manusia melainkan jalan keluar sesegera mungkin. Tercari-cari alternatif dan kadang hingga mengabaikan halal dan haram tindakan yang bakal diambil. Darurat, begitu alasannya.

Tanyakan pada sesiapa saja, mahukan kamu berada di dalam keadaan resah dan gelisah sentiasa? 
Tanyakan lagi, apakah impian hidup yang sering didamba? 
Pasti, semua insan mengharapkan bahagia, tanpa resah dan gelisah di jiwa.

Di satu sudut yang lain, perasaan resah dan gelisah sebenarnya mendekatkan kita kepada hasutan syaitan yang merosakkan. Kita yang sedang memerah otak memikirkan penyelesaian, dihimpit pula dengan bisikan-bisikan makhluk laknatullah ini. Yang menyuruh kita berprasangka buruk pada Allah, menyemai benci pada orang-orang terdekat, dan memilih jalan keluar yang jauh daripada redha Allah.

Banyak kali saya perhatikan, ramai manusia jatuh sakit apabila ditimpa kesusahan dalam hidupnya. Perasaan resah dan gelisah yang melanda telah menyebabkan hak badan terabai, lantas memburukkan lagi keadaan individu tersebut. 

Maka itulah relevannya doa yang diajar oleh Rasulullah SAW seperti di atas, dan doa ini telah disusun di dalam Al-Mathurat oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Jiwa yang keresahan perlu kembali pada Pencipta Segala Ketenangan. 
Jiwa yang kegelisahan perlu berlindung pada Pemilik Segala Keamanan. 
Jiwa yang kesedihan perlu meminta pada Tuhan yang menghadirkan rasa bahagia untuk setiap insan.

Kita memohon pada Allah daripada perasaan-perasaan yang cukup mengganggu hati dan fikiran kita ini. Kita memohon pada Allah agar seluruh pemikiran kita hanya berkaitan Dia, dan segala yang telah ditakdirkanNya adalah rahmat buat kita.

Insya Allah. 

3 comments:

HABAT said...
This comment has been removed by the author.
HABAT said...

Ada beberapa tips yang nabi ajarkan dlm hadis utk hilangkan kesedihan antaranya ialah cara yg agak special iaitu makan bubur talbinah.

S. Aishah RA menceritakan: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Talbinah dapat mententeramkan hati orang yg sakit dan dapat menghilangkan sebahagian kesedihan" (HR al-bukhari)

*Talbinah: bubur yg diperbuat dari gandum/tepung gandum dan dicampur madu. Senyum sikit :)

alhuda said...

Ohh. Specialnya cara yang Rasulullah ajar. Boleh cuba juga cara ni :)