Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, travelog Istabul yang tertangguh dua musim lamanya, mengikut peredaran cuaca di bumi Eropah. Jaulah musim sejuk yang mempersembahkan pelbagai hikmah untuk kami, dan post ini hanya sempat saya siapkan di cuti musim panas kali ini. Maaf atas kelewatan.
Ini khas buat kalian para pembaca, coretan istimewa di tanah air Islam yang saya benar-benar rindui. Alangkah bahagia jika dapat melihat sendiri bagaimana iman para mukmin di zaman dahulu yang menaikkan Islam hingga menjadi rujukan dunia seluruhnya.
[Note: Post ini sangat panjang! J]
Istanbul, iaitu ibu kota Turki mempunyai sejarah yang panjang dan menarik untuk kita kaji. Dahulunya dikenali sebagai Constantinople, dan merupakan ibu kota empayar Rom Timur. Hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,
‘Constantinople akan ditakluk oleh tentera Islam. Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin, yang memiliki sebaik-baik tentera.’
Hadis ini dinyatakan oleh Rasulullah ketika Perang Khandak, ketika Rasulullah SAW terlihat bayangan kemenangan Islam di Rom Timur saat sedang menggali parit bersama para sahabat. Hadis inilah yang telah membakar semangat para sahabat dan tentera muslim yang lain selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka ingin menjadi sebaik-baik tentera, dan para khalifah selepas zaman Rasulullah SAW ingin menjadi sebaik-baik pemimpin. Al-Hadis, antara tinggalan Rasulullah SAW kepada kita dan para perjuang terdahulu yang meyakini kata-kata Nabi ingin membenarkan hadis tersebut-dan mahu diri mereka sendiri yang menjadikannya realiti.
Pernah saya kongsi kisah semangat Abu Ayub Al-Ansari pada post sebelum jaulah yang lepas, (link). Semangat seorang ahli perang Badar, yang turut menghidupkan semangat generasi-generasi selepasnya untuk meneruskan perjuangannya kerana Allah.
Kembara Istanbul, bermula saat kami menjejakkan kaki di Sultanahmet, selepas dua hari mengunjungi Cappadocia yang terletak di bahagian Asia Turki(Turki adalah satu-satunya negara yang berada di dalam dua benua: Eropah dan Asia). Kami tinggal di Sultanahmet Youth Hostel, sebuah asrama perempuan yang terletak hanya 5 minit jalan kaki untuk ke Blue Mosque. Hostel ini cukup sederhana, berpatutan tetapi pengurusnya mempunyai masalah untuk bertutur di dalam bahasa Inggeris. Kami lebih banyak menggunakan bahasa isyarat atau menulisnya di atas kertas J. Jadi jika anda inginkan hostel yang mudah urusannya, boleh pilih banyak lagi hostel/hotel yang juga berdekatan dengan Blue Mosque tetapi saya rasa harganya mahal sedikit. Tidak mengapa, asalkan semua puas hati akhirnya.
Tempat pertama yang kami tuju adalah Topkapi Palace, yang terletak bersebelahan dengan Hagia Sophia. Topkapi Palace merupakan pusat pemerintahan Turki Uthmaniyah selama beratus-ratus tahun sebelum ianya ditukar kepada Dolmabache Palace di seberang laut Selat Bosphorus pada penghujung khilafah Turki Uthmaniyah.
Pintu masuk ke Topkapi Palace
Topkapi Palace, didiami oleh puluhan khalifah Turki Uthmaniyah bersama keluarga mereka. Bahagian ‘rahsia’ yang hanya boleh dimasuki oleh kaum kerabat diraja dikenali sebagai Harem. Topkapi Palace terletak di tepi Selat Bosphorus, jadi daripada istana tersebut kami boleh melihat bahagian seberang laut Turki (dikenali sebagai Modern Istanbul ). Di dalam istana ini terdapat perpustakaan, muzium, bilik-bilik pentadbiran yang dihiasi dengan kubah-kubah yang sangat cantik. Kubah-kubah inilah yang menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke Topkapi Palace. Terdapat sebuah muzium di sini yang menempatkan tinggalan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti pedang baginda SAW dan para sahabat, baju Saidatina Aisyah, sehelai janggut Nabi SAW,kunci pintu Kaabah dan banyak lagi tinggalan orang terdahulu. Muzium ini dilawati oleh ramai orang, sehingga sesak dibuatnya.
Saya tertarik dengan perkongsian seorang rakan berkenaan muzium ini- ‘Adakah dengan melihat janggut Rasulullah contohnya, akan menambahkan iman kita? Ajaran Rasulullah SAW itu lebih utama untuk kita amalkan, daripada hanya taksub dengan perkara-perkara yang kita lihat di muzium ini.’
Di sini juga kami melihat kekayaan kerajaan Turki Uthmaniyah berdasarkan harta dan barangan yang dipamerkan. Ia berubah mengikut peredaran zaman sehingga ke penghujung khilafah. Contohnya, kerusi yang akan digunakan oleh Sultan untuk menghadiri majlis-majlis di luar kawasan istana (bayangkan sebuah kerusi di taman) dipenuhi dengan batu permata. Sepenuhnya batu permata. Ada juga kerusi yang di salut dengan emas. Ya, sepenuhnya emas. Agak tercengang kami melihat kecantikannya dan kekayaan kerajaan Islam dahulu. Singsahsana yang disalut emas, mungkin juga katil mereka empuk dengan sutera dan baldu yang menghiasi. Kami terfikir, adakah peredaran zaman dan kemajuan ekonomi kerajaan Islam menjadikan perhiasan-perhiasan ini suatu keperluan pada zaman itu? Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Di hadapan perpustakaan di dalam istana
Seterusnya kami berkunjung ke Hagia Sophia, tempat bersejarah utama bagi masyarakat Kristian dan Muslim. Hagia Sophia dahulunya sebelum kedatangan Sultan Muhammad Fateh ke Istanbul, merupakan sebuah geraja kerajaan Rom selama seribu tahun lebih. Ianya ditukar kepada masjid ketika Islam datang dan kini merupakan sebuah muzium atas arahan Mustafa Kamal Atarturk. (Nota: Temple of Athenna juga(Dewi Athena dalam mitos Greek) yang berbentuk seperti parthenon di Athens pernah menjadi sebuah masjid ketika zaman khilafah Turki Uthmaniyah. Rujuk peta untuk melihat jarak sebenak Athens dan Istanbul) Sultan Muhammad Fateh dan tentera-tentaranya mengadakan solat Jumaat yang pertama selepas membuka Istanbul di Hagia Sophia.
Apa yang menarik, (juga diakui tourist guide kami) Islam tidak menghancurkan khazanah dan tinggalan serta lukisan yang terdapat pada bekas gereja ini. Muslim ketika itu hanya menutup gambar-gambar angel, Mary dan Jesus yang dilukis besar pada kubah Hagia Sophia. (Note: bentuk kubah sebenarnya bukan berasal daripada seni bina Islam) Kini gambar-gambar itu jelas kelihatan bersebelahan dengan nama Allah dan Rasulullah SAW setelah arahan untuk menanggalkan kembali cat-cat yang menutupinya.
Gambar '4 angles' yang telah dibongkarkan. Ia ditutup semasa berfungsi sebagai masjid.
Lihat gambar Mary dan Jesus di antara nama Allah SWT dan Muhammad SAW.
Hagia Sophia daripada jauh
Keesokan harinya, kami mengikuti Bosphorus Tour , meredah pesisiran Selat Bosphorus , melalui sepanjang kawasan Sultanahmet(Old Istanbul) dan bahagian Modern Istanbul di seberangnya. Subhanallah, bayangkan tour menaiki kapal di musim sejuk! Merah hidung dan kebas hujung jari-jemari kami dibuatnya. Namun pemandangan yang dipersembahkan oleh Istanbul memukau mata semua pelancong yang bersama. Menerusi tour selat ini, kami dapat melihat taburan masjid yang sangat banyak di sekitar Istanbul. Jarak antara setiap masjid hanyalah lebih kurang 300-400 meter sahaja. Jadi cubalah anda bayangkan suasana ketika masuknya waktu solat. Allahuakbar, mendayu-dayu dan bersahut-sahutan sesama masjid. Saat mendengarnya, kami terpukau dan tunduk kerana merindui panggilan Ilahi ini yang tiada kedengaran di bumi Ireland. (Note: Di Dublin, azan hanya dibenarkan di dalam masjid sahaja)
Istanbul Moden di seberang selat Bosphorus.
Dari kejauhan, kami dapat melihat Topkapi Palace dan enam minaret Masjid Biru yang berdekatan antara satu sama lain. Kami juga melalui bawah Jambatan Bosphorus yang menghubungkan bahagian Eropah dan Asia Turki. Bagi saya, ada dua binaan yang wajib dilihat untuk tour ini iaitu Rumeli Hisari dan Dolmabache Palace. Rumeli Hisari merupakan sebuah kubu yang dibina oleh Sultan Muhammad Fateh di bahagian Asia Turki(yang merupakan jajahan kerajaan Islam Saljuk di zaman pemerintahannya) sebagai salah satu persiapan sebelum menakluk Constantinople(Istanbul). Kubu ini terletak pada point yang terpendek antara bahagian Eropah Turki(yang merupakan jajahan Rom ketika itu) dan Asia Turki. Ternyata pembinaan kubu yang sangat kukuh ini sedikit sebanyak menggugat moral tentera Kristian pada ketika itu. Hingga kini Rumeli Hisari masih kukuh. Ada satu muzik instrumental yang popular yang bertajuk Rumeli Hisari, dedikasi buat peristiwa 1453.
Jambatan Bosphorus dan masjid bersebelahan dengannya.
Rumeli Hisari, kubu yang dibina oleh Sultan Muhamad Fateh.
Masjid dari kejauhan.
Dolmabache Palace dari atas kapal.
Dolmabache Palace, seanggun namanya. Sebuah istana yang tersangat mewah, yang merupakan pusat pemerintahan pada penghujung khilafah Uthmaniyah, yang sebelumnya terletak di Topkapi Palace. Sebuah istana yang sarat dengan ciri-ciri moden, rekaan-rekaan daripada negara-negara Eropah seperti Paris, Itali, Jerman dan sebagainya. Istana yang dibina atas permintaan pemerintah Turki yang mula mencintai kemewahan dunia dan rasa ingin menjadi seperti Barat. Maaf jika tulisan saya berbaur tidak senang, kerana inilah antara penyebab kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah pada zaman itu. Duit rakyat dibazirkan untuk kesenangan dan kemewahan pemimpin, sehingga bangkit seorang tokoh dari kalangan rakyat Turki iaitu Mustafa Kamal untuk membebaskan rakyat Turki daripada penindasan khalifah. Maka tidak hairan dialah juga yang menamatkan sistem khilafah di muka bumi ini, dan digelar sebagai hero oleh rakyat Turki hingga kini.
Pintu masuk ke Dolmabache Palace.
Lagi pintu masuk ke istana.
Ada beberapa fakta yang saya ingin kongsi bersama anda di Dolmabache Palace ini:
-kami perlu membalut kasut dengan plastik yang disediakan sebelum menjejakkan kaki ke dalam istana ini.
-kami tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam istana. Maka saya tidak dapat tunjukkan di sini rekaan dan perabot mewah di dalam istana.
-Lampu chandelier yang paling besar di dalam istana ini, adalah yang kedua terbesar di dunia(seingat saya, daripada penceritaan tourist guide) selepas lampu chandelier di istana di England (tak pasti adakah ianya merujuk pada Buckhingham Palace di London)
-‘Every shining things that you see inside, is a real crystal. Every golden things that you see, is a real gold,’ pesan tourist guide kami saat menanti giliran untuk masuk.
-Yang paling menarik di sini: ‘everything that you see on the left would be the same thing on the right’. Bermaksud perabot-perabot di dalam istana ini disusun supaya kelihatan simetri, atau ‘cerminan’, yang juga bermaksud-sekiranya di bahagian kanan diletakkan meja, pasu bunga dan sofa, maka di bahagian kiri juga perlu diletakkan perabot yang sama seperti di kanan. (Boleh bayang tak pembaziran di sini?? Hanya kerana mahukan ianya kelihatan simetri..)
-Ukiran untuk setiap perabot kebanyakannya sarat dengan emas dan hiasan kayu yang mahal.
-Mempunyai tangga kristal (pada bahagian dirian tempat memegang untuk menaiki tangga).
-Terdapat juga tiang-tiang marmar tiruan di ruang utama istana.
-Tiada mana-mana syarikat insuran yang mahu bertanggungjawab pada harta-harta yang terdapat di dalam istana ini disebabkan harga setiap satunya yang sangat mahal.
Kami keluar daripada Dolmabache Palace dalam keadaan penat. Penat dengan hiasan yang memukau, juga penat melihat cara hidup pemimpin Islam zaman itu yang ternyata mula mencintai dunia hingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
Keesokan harinya kami ke Grand Bazaar, untuk membeli belah kali terakhir kerana esok petang kami akan pulang ke Dublin. Tapi perancangan hari ini juga padat, memandangkan malam ini kami akan mengadakan malam kemuncak jaulah. Grand Bazaar, sebuah bazaar yang sangat besar dan mempunyai ratusan pintu masuk (hingga boleh sesat di dalamnya) merupakan tempat membeli belah yang terbaik untuk anda yang tidak mahu bersusah payah mencari barangan Turki di tempat berasingan. Segalanya ada di sini. Tetapi harga di sini sebenarnya jauh lebih mahal berbanding di luar. (Saya berjanji pada diri tak mahu membeli di Grand Bazaar atas nasihat rakan-rakan yang pernah ke sini semasa masih di Dublin, tetapi disebabkan kesuntukan waktu kami terpaksa akur dengan harga barang-barang di sini~ Masih boleh tawar menawar, tetapi harga di luar bazaar sebenarnya lebih murah lagi. Jadi, jangan shopping di sini!! Huhu)
Bersama barang-barang souvenir yang berat, kami teruskan perjalanan untuk menziarahi masjid-masjid khalifah yang terdahulu. Kami menziarahi Masjid Al-Fateh untuk solat zohor dan asar, subhanallah ramai sungguh jemaah lelaki dan wanita di situ walaupun kawasan dalam masjid dipenuhi besi-besi dan kain kanvas kerana kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan. Kami tidak sempat untuk menziarahi makam Sultan Muhammad Fateh kerana usai kami solat, makam tersebut telah ditutup untuk orang awam. Suasana tenang dapat dirasa di masjid sempena nama sultan yang telah membuka Constantinople ini. Kami membuat halaqah seketika untuk mengimbau kembali sejarah hidup Sultan Muhammad Fateh, sebagai penaik semangat dan pendorong untuk menguatkan pegangan dengan Allah.
Makam Sultan Muhammad Fateh
Under construction.
Kemudian kami ke Masjid Suleyman yang terletak 10 minit jauhnya dengan menaiki teksi untuk solat maghrib. Masjid Suleyman merupakan sebuah masjid yang besar, dan di sini kami telah bertemu dengan seorang remaja Turki yang sangat peramah dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.
Suleyman Mosque.
Untuk Malam Kemuncak Jaulah, kami mengunjungi sebuah restoran makanan laut di Eminonu, yang merupakan sebuah pelabuhan utama di Istanbul. (Note: Pelabuhan Eminonu juga adalah tempat kapal Mavi Marmara berlepas pada Mei 2010, untuk Lifeline For Gaza) . Kami bertukar-tukar hadiah, dan menyambut hari jadi salah seorang rakan jaulah di situ. Malam ini kami perlu tidur awal, kerana awal pagi esok kami ingin berkunjung ke Majid Eyub, yang terletak bersebelahan makam Abu Ayyub Al-Ansari, seorang ahli perang Badar yang turut terlibat dalam usaha menakluk kota Constantinople.
Malam Kemuncak Jaulah
Ramai yang pernah ke Turki selalu menasihatkan kami-jika sempat, pergilah berjemaah di Eyub Mosque. Jemaahnya sangat ramai, walaupun waktu Subuh. ‘
Mendengar kata-kata sedemikian, kami memang tidak sabar untuk melihatnya sendiri. Kami datang dengan menaiki teksi untuk solat Subuh dan saat kami sampai di sana,(walaupun masih awal) jemaah wanitanya sangat ramai sehingga kami hanya dapat tempat solat berhampiran tangga keluar! Subhanallah, benarlah kata rakan-rakan sebelum ini. Ramai ibarat solat sunat hari raya. Saya teringat kata-kata seorang ulama’ jika tidak salah-‘Umat Islam akan menang dalam menentang musuh Islam, jika solat Subuh mereka jemaahnya seramai solat Jumaat’. Hal ini benar-benar berlaku di Masjid Abu Ayyub Al-Ansari ini. Mungkin berkat ahli perang Badar yang berterusan hingga kini. Allahuakbar.
Eyub Mosque.
Kami juga sempat bersama dalam majlis zikir para wanita yang diadakan selepas solat Subuh. Membaca Asma ul-Husna bersama-sama dengan lagu versi Turki J. Ternyata pengalaman kami di sini cukup sebagai penutup jaulah yang terbaik, kerana saat ini kami sama-sama bermuhasabah-bagaimana untuk kami kekal istiqamah seperti mereka selepas kami pulang ke Dublin atau Malaysia? Kami semua cukup tersentuh dengan semangat yang ditunjukkan oleh warga Turki yang masih mengamalkan Islam ini. Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana memberi kami kesempatan ini.
Kemudian kami pulang, untuk berkemas kerana van untuk ke airport akan tiba tidak lama lagi.
Turki, tanah air Islam yang dijejaki pada musim sejuk yang lalu hingga kini tidak pudar rasa rindu kami kepadamu. Moga bangkitlah Islam di situ semula, kembali mentaati Allah yang Esa.
******************************
Reflection moments~
Sedikit sedutan pengalaman dan memori specific yang ingin saya kongsi:
1. Sisters di Masjid Biru
Kami sempat bertemu dalam 6 orang pelajar wanita Istanbul University, yang alhamdulillah mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Saya bertanya tentang peraturan Turki yang mengharamkan pemakaian tudung di universiti. Katanya, alhamdulillah bermula tahun lepas(2009) peraturan itu sudah dimansuhkan. Kini mereka bebas memakai tudung seperti biasa di kelas dan kawasan universiti.
Blue Mosque dari jauh
2. Hero
Pertama kali sampai di Istanbul Bus Station , dan melihat wajah Bapa Turki(atau Atarturk dalam bahasa Turki)Mustafa Kamal di kalendar, dinding di sana, membuatkan saya tertarik untuk bertanya seorang wanita yang duduk bersebelahan kami. Malangnya dia tidak faham bahasa Inggeris, tapi dengan senyuman dan isyarat tangan menunjuk pada gambar Mustafa Kamal, dia berkata,’Our Hero’.
3.Buku rujukan
‘Buku rujukan ‘ kami untuk mengembara di bumi Turki ini ada tiga. Pertama adalah travelog tulisan Jhaz Kitaro yang berjudul ‘Turki bumi khalifah’. Kedua adalah karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, yang berjudul ‘Secangkir teh pengubat letih’-catatan dan penceritaan yang mengupas cerita disebalik kejatuhan khilafah dan ibrah yang dapat diambil. Ketiga, buku Constantinople: The Last Great Siege (1453) tulisan Roger Crowley. Sejarah tokoh dan tempat kebanyakannya didapati daripada internet.
Inilah travelog jaulah Istanbul kami, yang banyak memberi pengajaran untuk diri dan pengerat ukhwah kami hingga kini. Moga Allah memberkati segala perkara yang kami tempuhi dalam rangka mencari redhaNya.
Wallahualam.