Thursday, May 26, 2011

Zero to Hero

picture from my.opera.com/WinTeen

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.”

(petikan daripada puisi Guru O Guru, Usman Awang, 1979)

******************

Jika anda boleh membaca artikel ini, ucapkanlah terima kasih kepada guru pertama yang mengenalkan anda kepada setiap huruf dan sukukata, sehingga himpunan huruf-huruf ini dapat difahami.

Jika dibuat kajian, pekerjaan apakah yang paling bermakna di dalam dunia ini, penulis tanpa ragu-ragu akan menjawab-menjadi seorang guru. Mengapa? Ini kerana asas didikan yang membentuk generasi hari ini selain daripada didikan oleh ibubapa di rumah, adalah didikan para guru. Siapa kalian pada masa akan datang, asalnya adalah seorang biasa yang tidak mengerti dunia sekeliling tanpa bantuan daripada golongan pendidik ini.

Sabda Rasulullah SAW,

“Barangsiapa memuliakan orang-orang yang berilmu, sesungguhnya dia telah memuliakan daku. Sesiapa yang memuliakanku, sesungguhnya ia telah memuliakan Allah, sesiapa yang memuliakan Allah, maka tempatnya adalah syurga.”

Orang-orang yang berilmu, dalam konteks hadis di atas adalah golongan yang kita pelajari ilmu daripada mereka. Para guru, merupakan golongan yang tidak pernah kenal lelah menebarkan benih-benih cinta kepada anak muridnya, dengan harapan ilmu yang dicurahkan mampu membentuk jiwa-jiwa muda yang berguna di kemudian hari.

Selaras dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk keluar menuntut ilmu, maka golongan yang menyampaikan ilmu tersebut adalah lebih mulia lagi. Bahkan ilmu itu juga merupakan suatu cahaya, yang menerangi kegelapan lorong-lorong masa hadapan, sebagai pilihan kepada sang pengembara. Petikan daripada kata-kata Saidina Ali r.a, ilmu itu adalah lebih baik daripada harta, di atas beberapa sebab:

- Ilmu menjaga dan memelihara tuannya, manakala harta pula, tuannya perlu menjaganya.

- Orang yang mempunyai ilmu ramai sahabatnya, manakala orang yang mempunyai harta, ramai musuhnya.

- Ilmu itu jika diajarkan, ia akan bertambah. Manakala harta jika dibelanjakan, ia akan berkurangan.

- Ilmu itu tidak perlu dijaga daripada pencuri, manakala harta pula perlu dijaga daripada kecurian.

- Ilmu dapat menerangkan hati, manakala harta pula dapat mengeraskan hati.

Maka rakan-rakan yang dikasihi, menuntut ilmu merupakan suatu mujahadah ke arah kebaikan dan kemajuan. Para guru yang menyampaikan ilmu tidak pernah mengharapkan keburukan pada anak muridnya, malah segala jenis pengorbanan dibuat semata-mata untuk melihat setiap daripada kita berubah, daripada ZERO menjadi HERO.

Maka ucapkanlah terima kasih, dan muliakanlah golongan pemberi ‘cahaya’ ini. Moga Allah memberkati semua guru-guru yang pernah mengajari kita selama ini.

Selamat hari guru J



*artikel ini ditulis khusus untuk buletin iPIS(Pertubuhan Pelajar Islam Seratas) edisi Mei/Jun, sempena menyambut Hari Guru

No comments: