Thursday, January 28, 2010

Cuti, dan pencariannya I

Saya sedang bercuti ketika ini. Dua minggu, dan terasa sungguh bahawa jika tersalah isi, maka rugilah saya.

Cuti, kadang kala membuatkan saya kehilangan hati.

Maka post ini ditulis, ketika saya sedang mencari ke mana hilangnya hati saya selepas selesai menjalani peperiksaan semester pertama.

Dalam pencarian ini, Allah temukan saya dengan sahabat yang sangat saya rindui iaitu Siti Shafarwati ketika saya menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Republik Czech. Alhamdulillah=)

Siti juga sedang mencari hatinya dalam kesibukan menghadapi peperiksaan beberapa hari sahaja lagi, dan pertemuan dengannya membuat saya tersedar bahawa ukhwah fillah- penyatuan hati manusia kerana Allah adalah penguat bagi jiwa-jiwa yang lesu.

Ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam menjalani kehidupan seharian kami, dan tetapkanlah kami di jalan yang lurus...

Pencarian diteruskan, dan saya dapati betapa tidak bersyukurnya kami yang berada di Dublin apabila terasa bosan terpaksa menjadikan ayam sebagai menu harian memandangkan harga ikan yang agak mahal, dan kurang segar.

Rakan-rakan di Czech, perlu menunggu berminggu-minggu untuk bekalan ayam sampai dan stok ayam adalah terhad menyebabkan mereka perlu berpuas hati dengan ikan beku, telur dan salami(ya, salami juga dengar cerita hanya terdapat di Prague). Mungkin ini adalah kisah terpencil, tetapi hakikatnya setiap apa yang Allah beri kepada kita walau sekecil mana, harus kita syukuri. InsyaAllah kita akan menjadi orang-orang yang beruntung...

Selepas ini, kami insyaAllah tidak akan merungut lagi apabila kehabisan idea untuk mempelbagaikan masakan ayam untuk mengelakkan kebosanan.


Tetapi tidak tahu di mana, rasanya saya belum ketemu hati saya sepenuhnya di sini. Ya Allah, bimbang ujian kesenanganMu melalaikan aku dalam mencari redhaMu...


Selepas ini, pencarian akan diteruskan apabila saya menjejakkan kaki ke bumi UK bermula Sabtu ini.

Dan post ini akan bersambung.


"Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati,tetapkanlah hati kami dalam agamaMu, dalam ketaatan kepadaMu, dan di dalam berjihad di jalanMu...."

Sunday, January 3, 2010

Uncle percaya Allah?

"Dik...jangan lupa Tuhan Allah ya. Mesti taat pada Dia", ujar uncle itu dengan tenang.

Tersentak kami seketika.

"Uncle percaya Allah?", tanya kami serentak.

"Mesti lah uncle percaya..Allah yang ciptakan semua benda ni..," jawab uncle tersebut.

"Tapi uncle percaya juga la Tuhan lain?," tanya kami lagi.

"Ya, mesti percaya juga..,"balas uncle itu lagi.

Ohh. Kami mengangguk faham.

*******************
Perbualan itu mengakhiri pertemuan kami dengan uncle berbangsa India, yang sedang terbaring di Wad Paliatif(Palliative Ward) di Hospital Ipoh. Wad ini menempatkan pesakit-pesakit kanser tahap akhir(end stage cancer) dan uncle tersebut mengidap penyakit kanser tulang.

Nampaknya, uncle ini generalize kan penggunaan nama Allah.

Isu penggunaan nama Allah yang diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mengingatkan saya tentang peristiwa ini. Sesungguhnya, saya menolak mentah-mentah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dasar menjaga kesucian agama Islam dan konsep ketuhanan yang dibawa oleh Rasulullah, iaitu Allah Yang Esa.

Dan saya menyokong tindakan pihak-pihak seperti JPM yang akan membuat rayuan kepada pihak mahkamah mengenai isu ini, agar akhbar Herald tidak lagi boleh menggunakan perkataan Allah untuk tuhan mereka.

Bagi mereka, ini adalah berita gembira : Allah For All(sila click)

Maha Suci Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, Tuhan yang Esa.

Cabaran bagi dakwah Islamiah, apabila masyarakat mula menganggap dakwah kita adalah sama seperti dakwah agama lain juga, apabila sama-sama menggunakan nama Allah.

Cabaran untuk kita sebagai muslim, untuk betulkan kembali kefahaman masyarakat mengenai Islam dan monotheism, dan muhasabah juga kepada diri-apakah kita kisah dengan isu ini?

Jika benar mengakui Allah sebagai Tuhan, maka ikutlah firmanNya dalam surah Al-Maidah, ayat 3:

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan telah Aku redha Islam sebagai agamamu."


Ayat di atas, Allah menggunakan kalimah 'islama deena'.

Dalam firman lain, Surah Ali Imran ayat 83:

"Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang ada di bumi berserah diri kepadaNya.."


(Ah, isu ini benar-benar mengingatkan ku akan pengisian yang pernah kuterima mengenai tajuk 'Takrif Islam'. Ku tidak boleh menulis panjang kerana ada tuntutan jihad yang perlu kuselesaikan dalam tempoh terdekat ini.)


Bagi saudaraku seIslam yang lain, mari kita mantapkan kefahaman kita mengenai Islam. Biar setiap isu itu, menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita semua, dan peringatan daripada Allah tentang rapuhnya keimanan kita terutama di dalam bab akidah.

Moga Allah pelihara hati kita semua daripada anasir luar atau serangan pemikiran yang ingin melemahkan kita semua.