Saturday, July 13, 2013

History repeats again



Assalamualaikum wbt, 

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan kita untuk sampai kepada bulan Ramadhan 1434H yang mulia ini. Selawat dan salam kepada Rasulullah saw, kekasih Allah yang dirindui.

I would like to share with you one story about the companions of Rasulullah saw.

Ibnu Ishaq dan Ahmad meriwayatkan daripada Jabir r.a, ia berkata:
'Kami pernah berangkat bersama Rasulullah saw pada perang Dzatur Riqa'. Ketika itu, seorang wanita daripada kaum musyrikin ditawan. Setelah Rasulullah saw pulang, suami dari wanita itu yang sebelumnya tiada di rumah, baru datang. Lelaki itu kemudian bersumpah tidak akan berhenti mencari isterinya sebelum dapat mengalirkan darah para sahabat Rasulullah saw. Lelaki itu lalu keluar mengikuti jejak perjalanan Nabi.

Nabi saw kemudian turun di suatu tempat lalu bersabda,'Siapakah di antara kalian yang bersedia menjaga kita sepanjang malam ini?' Kemudian majulah seorang dari Muhajirin dan seorang dari Ansar lalu kedua-duanya berkata: 'Kami, wahai Rasulullah!' Nabi saw berpesan, 'Jagalah kami di permulaan lorong ini'. Semasa itu Rasulullah saw bersama para sahabatnya berhenti istirahat di suatu lorong dari sebuah lembah.

Ketika kedua sahabat itu keluar ke permulaan lorong itu, sabahat Ansar bertanya kepada sahabat Muhajirin, 'Pukul berapakah engkau inginkan aku berjaga, apakah permulaan malam atau akhir malam?' Sahabat Muhajirin menjawab, 'Jagalah kami di awal malam'. Sahabat Muhajirin itu kemudiannya berbaring dan tidur, sedangkan sahabat Ansar itu melakukan solat. 

Datanglah lelaki musyrik itu dan ketika mengenali sahabat Ansar itu, dia faham bahawa sahabat itu sedang tugas menjaga. Orang itu kemudiannya memanahnya dan tepat mengenainya, lalu sahabat Ansar itu mencabut anak panah dan terus berdiri tegak. Orang itu kemudiannya memanah lagi dan tepat mengenainya, lalu sahabat itu mencabutnya lagi dan terus berdiri tegak. Untuk kali yang ketiga, orang itu sekali lagi memanahnya dan tepat mengenainya, lalu dicabutnya juga. Sahabat itu kemudian rukuk dan sujud. Setelah itu, barulah dia membangunkan sahabatnya seraya berkata,'Duduklah, kerana aku telah dilukai'.

Sahabat Muhajirin kemudian melompat. Ketika orang musyrik melihat keduanya, dia sedar bahawa dirinya telah diketahui lalu ia pun melarikan diri. Ketika sahabat Muhajirin mengetahui darah yang melumuri sahabat Ansar, ia berkata,'Subhanallah, mengapa kamu tidak membangunkan aku dari tadi?' Dia menjawab, ' Aku sedang membaca satu surah dan aku tidak ingin memutusnya. Setelah berkali-kali orang itu memanahku, baru aku rukuk dan memberitahukan kepadamu. Demi Allah, kalau bukan kerana takut mengabaikan tugas penjagaan yang diperintahkan Rasulullah saw kepadaku, nescaya nafasku akan berhenti sebelum aku membatalkan solat..'

MashaAllah.

Saat membaca kisah ini, serta merta saya teringat akan serangan di Cairo pada pagi Isnin yang lalu. Serangan yang mengakibatkan lebih 50 orang syahid. Apa yang lebih menyedihkan, ada antara mereka yang syahid ditembak di kepala ketika sedang menunaikan solat Subuh. 

Selain daripada pengajaran besar daripada sirah di atas berkenaan kekuatan iman yang luar biasa dan kekusyukan sahabat Ansar ketika menunaikan solat sambil menjaga sahabat lain daripada musuh, satu lagi perkara yang ingin di highlightkan adalah strategi musuh yang menyerang ketika para Muslimin sedang solat. Iaitu strategi yang sama digunakan pada serangan Isnin lalu. Pasti saja mereka tahu, saat terbaik untuk membunuh tanpa diserang semula adalah ketika para Muslimin sedang menumpukan perhatian pada solatnya. Dan apabila dirinya telah diketahui, cepat-cepat ia melarikan diri bimbang dibunuh semula. 

Sejarah berulang kembali...

Ya Allah, selamatkan bumi Mesir daripada kebathilan
Berilah mereka di sana kekuatan untuk mempertahankan yang haq
Hancurkanlah rancangan-rancangan musuh yang ingin menghapuskan Islam
Kuatkanlah kesatuan di antara ummah Islam
Berilah kami kesedaran yang jelas tentang Islam agar kami dapat memilih yang haq dan menentang yang bathil
Kami memohon perlindungan daripadaMu ya Allah
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong..



picture from Mesirkini





alhuda
4th Ramadhan 1434H


Monday, July 8, 2013

Fire!


Sekiranya bilik yang anda sedang duduki sekarang terbakar, apakah yang akan anda lakukan?

‘Saya akan lari!’
‘Saya akan cari pemadam api yang warna merah tu lepas tu cuba padamkan api’
‘Saya ambil barang-barang saya kemudian lari ikut tangga. Lif tak boleh guna bila berlaku kebakaran!’
‘Saya akan cuba ambil air untuk padamkan’-Macam mana nak padamkan api dengan air?-‘Ambil la cawan lepas tu tuang pada api tu’.

Ini adalah respon yang didapati daripada beberapa orang yang ditanya soalan di atas. Jawapan yang terakhir adalah contoh orang yang mempunyai masalah untuk membuat keputusan yang logik (impaired judgement).

Soalan ini adalah sebahagian daripada Mental State Examination(MSE). MSE adalah salah satu penilaian yang akan dibuat kepada semua pesakit yang berjumpa doctor psikiatri-dan sebenarnya MSE boleh dibuat kepada sesiapa sahaja. No harm :)

Jika MSE ini dibuat pada semua orang, insyaAllah sebahagian besar daripada kita pasti mempunyai judgement yang tepat. (Maka ucapkanlah Alhamdulillah)

Namun daripada sudut yang lain, ramai daripada kita sebenarnya masih belum sedar bahawa kita sebenarnya sedang berada dalam keadaan yang genting-segenting saat berada di dalam rumah yang terbakar. Cuma apinya saja tidak kelihatan!

Dunia Islam pada hari ini tidak pernah tenang dengan berita-berita yang mencemaskan. Musuh-musuh Islam tidak pernah rehat mencari jalan untuk menjatuhkan kesatuan ummah. Hakikatnya, kebatilan sedang membuat perancangan untuk menghancurkan kebenaran. Apa yang menyedihkan, apabila kesatuan ummah tercalar sehingga sesama Islam berbunuhan antara mereka, di saat itu musuh Allah bersorak keriangan.

‘Ah, itu mereka! Kita yang aman damai ini perlu pertahankan pula keamanan ini. Biarkan mereka selesaikan konfliknya sendiri’.
‘Maaf, saya tidak punya masa untuk semua itu. Masalah sendiri pun masih belum terurus!’.
‘Of course I care about them! But hey, don’t forget our plan to go to cinema tomorrow, okay?’

Hakikatnya sebahagian besar daripada kita masih lena. Seronok berada di fasa delta wave of the brain, di mana seseorang itu paling sukar digerakkan daripada tidur. Jika digerakkan pun tidak akan sedar sepenuhnya. Pada fasa ini, manakan mungkin perasan rumah yang didiami sedang terbakar. Maka begitulah keadaan kita. Masih enak menikmati keseronokan dunia yang dihidangkan oleh musuh-musuh Islam sehingga kita lupa pada mereka yang sedang berjuang menegakkan kebenaran, ditindas oleh kezaliman dan dibunuh atas nama mempertahankan kebebasan.

“Kita ni,”ujar seorang daripada rakan yang dikasihi,
“Perlu rasa bertanggungjawab untuk menjadi penggerak kepada ummah yang sedang lena ini. Kejutkan mereka, bahawa iman kita dalam kondisi yang sangat bahaya! Sedetik kita tinggalkan Allah, bertubi-tubi serangan daripada musuh Islam datang untuk melalaikan kita. Untuk menjauhkan kita daripada mengingati Dia. Hingga kita semakin jauh..dan jauh meninggalkanNya.

Maka bagaimana untuk menggerakkan ummah ini?

Kita sendiri yang perlu bangun dahulu dan menyedari bahawa kebakaran sedang berlaku, dan segera gerakkan mereka untuk lari menyelamatkan diri. Kita sendiri yang perlu ubah diri kita dahulu, kemudian seru mereka yang lain untuk turut menyelamatkan iman mereka. Jaga hubungan dengan Allah, pasti Dia akan menjaga kita dan menyelamatkan kita selagi mana kita cuba mendekatkan diri kepadaNya.”

Jangan jadi hambaNya yang mempunyai impaired judgement terhadap suasana yang berlaku di sekeliling kita. Serangan musuh Allah datang dari segala arah, keep updated and aware.


Sungguh, kaca mata iman bukan boleh diperolehi di mana-mana. Ia adalah hasil daripada mengenaliNya dan menjaga diri daripada apa-apa yang menjadi laranganNya.