Friday, December 28, 2012

Tatkala hati merinduimu ya Rasulullah..



Bergenang lagi air mata petang itu.
Kadang kala kolamnya tumpah, kadang tersedu.
Setiap bait kata yang mengingatkan dia pada kekasih Allah itu, 
Meresap masuk ke dalam kalbu. Menyentuh jauh ke dalam lubuk hati.

Andai diberi peluang untuk bertemu dengan figur hebat sepanjang zaman itu,
Pasti, dirinya mahu menjadi orang pertama yang meluahkan rasa hati.
Perihal bagaimana dunia selepas baginda SAW pergi.

Tentang turun naik iman umatnya di sini
Tentang ramainya pencinta-pencinta baginda yang masih tsabat walau diri baginda tak pernah mereka lihat
Tentang kuatnya usaha musuh-musuh Islam menghapus identiti mukmin sejagat
Tentang rakusnya umat baginda pada dunia yang sementara, bahkan mereka semakin jauh daripada syurga
Tentang perbalahan dan pergaduhan sesama Muslim kerana kepentingan sendiri

Segalanya kerana hilang pegangan pada wasiat yang dilafaz baginda
"Dua perkara yang jika kamu berpegang dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya..iaitu Al-Quran dan Sunnah"

Ya Rasulullah, 
Aku malu untuk berdepan denganmu
Aku malu jika engkau tahu bagaimana diriku melaksanakan ajaranmu
Aku malu melihat kelompokku sekadar mengenal namamu, tidak bersama sunnahmu

Ya Rasulullah, 
Kita terpisah seribu tahun jaraknya
Walau dirimu tak pernah kujumpa
Membaca kisahmu sudah cukup membuatkanku jatuh cinta
Dan kini..jiwaku merindu hikmah dari kekasihNya yang mulia

Ya Allah, sampaikan selawat dan salam dariku kepada baginda yang kucinta sepenuh jiwa.. 
T_T



No comments: