Monday, August 8, 2011

Tetamuku, engkau terlalu hebat!



'Biar tiap degupan, hanya untukNya'




Buku-buku di atas meja diatur rapi.


Lantai disapu bersih.


Ruang tamu diperiksa beberapa kali supaya tiada kelihatan cacat cela.


"Ummi, ada tetamu hendak datangkah?", soal adik apabila melihat ummi yang sibuk mengemas rumah.
"Ada, yang datang hanya sekali dalam setahun", balas umi perlahan. Terkenang apakah mungkin tahun hadapan diberi kesempatan untuk menyambutnya lagi. Tahun ini, alhamdulillah, telah menjemputnya 'masuk' untuk menghidupkan rumah kecil kami.



Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu
(Hadis riwayat Bukhari&Muslim)



Beberapa hari yang lepas, saya merenung hadis ini dalam-dalam.


Teringat akan janji syaitan laknatullah pada Sang Pencipta,Allah SWT bahawa dia akan menyesatkan umat Adam hingga hari kiamat. Godaannya datang dari kiri, kanan, depan dan belakang. Azamnya, agar lebih ramai yang menemaninya di akhirat kelak!


Teringat akan dosa-dosa kecil mahupun besar, yang nyata mahupun tersembunyi, yang mampu menarik kita ke neraka Allah.


Teringat akan peristiwa Isra' dan Mikraj, di mana Rasulullah SAW melihat penghuni syurga mahupun neraka, sama-sama majoritinya adalah wanita. 


Teringat akan individu-individu yang Allah tarik nyawanya sebelum dia sempat sampai ke bulan Ramadhan yang mulia. Moga Allah tempatkan mereka di kalangan orang-orang beriman.


Allahuakbar. Astaghfirullahalazim.


Saat itu juga saya merasa tetamu kita ini terlalu hebat. Sangat hebat dan agung, kerana kehadirannya bersama janji Allah SWT bahawa syaitan yang selama ini tidak lelah membisik kemungkaran di telinga kita, kini dibelenggu agar tidak lagi mengganggu hambaNya.


Hadir bersama janji bahawa neraka Allah, suatu tempat yang kita sendiri tidak ingin pulang kepadanya, kini ditutup serapat-rapatnya. Allahuakbar, padahal dahulu kita 'membina saham' untuk mendekatinya! Astaghfirullahalazim.


Menjenguk kita dengan membawa berita bahawa syurga Allah SWT, kampung akhirat yang kita sangat-sangat rindui, walau tak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah terbayang kecantikannya oleh aqal, kini dibuka seluas-luasnya untuk hambaNya yang beriman. Apakah kita tidak rindu pada kampung ini, yang merupakan asal usul kita dahulunya? Ya Allah, pilih hambaMu ini untuk menjadi penghuninya di akhirat kelak..


Dan dia tidak berhenti di situ. Dibentangkannya lagi keistimewaannya yang lain agar barangsiapa yang tidak mahu menyambut kunjungannya, nescaya rugi selamanya.


Pada dirinya ada peristiwa agung, iaitu penurunan kitab yang melengkapi semua kitab-kitab sebelumnya, yakni Al-Quran Al-Karim. Antara tinggalan Rasulullah SAW dengan janji bahawa jika berpegang dengannya, nescaya tidak akan sesat seumur hidup. Kitab yang merupakan penenang, penawar dan petunjuk untuk kita di hujung zaman dunia ini.


Pada dirinya juga punya rahsia agung, yang terdapat di antara sepuluh malam yang terakhir. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Malam yang penuh keberkatan hingga menjelang fajar esoknya. Rebutan para abid yang cintakan Allah setulus hatinya.


Aduhai, tetamu apakah ini?


Kehadirannya memberi nafas kepada penghuni kubur yang diazab, sehingga mereka mahu biar dia hadir selama-lamanya, agar mereka dapat dijauhkan daripada derita. 


Para sahabat Rasulullah SAW bergembira tatkala dia tiba, dan menangis saat masa menginjak kerana dia akan pergi meninggalkan mereka setelah tamat satu purnama.

Kini diriku menginsafi bahawa tetamu ini hadir dan bakal pergi, maka sempatkanlah kami ya Allah, untuk beribadah dan menggapai redhaMu sebanyak mungkin.


Lagak rakan karib yang bakal meninggalkan kita, pasti masa yang ada bersama dimanfaatkan sepenuhnya.


Allahu Kabir, kupohon kekuatan dariMu.


Allahu Hafiz, bantu kami untuk memelihara puasa dan ibadah kami keranaMu.




Al-huda
8 Ramadhan 1432H

No comments: