Sunday, August 28, 2011

Hijab Sang Peminta

pic from myspacecdn.com

Assalamualaikum wbt.



Meniti hari-hari terakhir bulan barakah yang bakal mengundur diri.

Mencari pecahan-pecahan sinar yang terkambus dalam debu dosa dan maksiat hasil tangan sendiri.

Wahai Ramadhan, kau bakal pergi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan. Sesiapa yang melaksanakan qiam Ramadhan atas dasar iman dan menghadap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan. Sesiapa yang melakukan qiam Lailatulqadar atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam satu lagi hadis terkenal yang sering kita baca, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Rugilah seseorang yang memasuki bulan Ramadhan, namun bulan ini berlalu sementara dosa-dosanya belum diampunkan.” 
(Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Berhenti sejenak, perhatikan dua hadis di atas ini kembali.

Fokusnya pada pengampunan dosa dan peluang untuk merasai Ramadhan hingga ke saat ini.

Alhamdulillah, kita diberi nikmat untuk melangkah ke Madrasah Ramadhan hingga hari ke-28, iaitu hari ini. Dipilih oleh Allah untuk terus menghirup udara rahmat di pagi hari, dan merasai nikmat beribadah di malam hari. Namun tatkala merenung hadis-hadis berkaitan Ramadhan seperti di atas, nafas terasa pendek dan degupan jantung berganda.

‘Ya Allah, terampunkah dosa-dosakku yang lalu?’

Atau soalan yang lebih layak untuk diri,
‘Ya Allah, adakah Engkau menerima amalanku selama ini, untuk melayakkan dosa-dosaku diampuni?’

Allahuakbar. Kini antara outcome(penghapusan dosa) dan input(amal ibadah) yang telah kita usahakan.

Benar, penerimaan amal dan penghapusan dosa segalanya adalah urusan Dia. Tiada kuasa pada sang hamba untuk mengetahuinya, namun kebijaksanaanNya sungguh tidak berbelah bagi. DiberiNya pada kita seketul daging , yang mana jika elok ia maka eloklah seluruh anggota tubuh manusia. Itulah hati, atau al-qalb, yang diberi Allah sebagai neraca untuk kita menghadapi dunia.

Hati ini yang bersama kita melangkah ke Marasah Ramadhan tahun ini, hingga ke penghujungnya.
Hati ini yang bersama kita saat kita berlapar di siang hari, dan saat kita beribadah di malam hari.
Hati ini yang bersama kita saat kita sujud merendahkan diri padaNya.
Hati ini juga yang bersama kita saat kita bermalas-malasan, tidur-tiduran, dan sebagainya.

Tanyalah pada neraca hati, mengapa hampir sebulan berpuasa, aduh, tiada air mata saat bermunajat padaNya? Mengapa tidak terasa pertambahan iman yang sepatutnya terjadi saat penghasut nombor satu dunia digari? Wahai hati, di mana kamu pergi? Mungkinkah ada hijab yang menjauhkan diri dengan al-Khaliq selama ini?

Hijab sang peminta, boleh berlaku tanpa disedari..

Teringat sebuah kisah mengenai seorang ahli sufi yang terkenal iaitu Ibrahim bin Adham, apabila ditanya sebab-sebab tertolaknya doa maka ini jawapan yang diberi olehnya :-

PERTAMA 
Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
KEDUA
Kamu berkata bahawa kamu cinta kepada Rasullah s..a.w. tetapi kamu meninggalkan sunnahnya.
KETIGA
Kamu membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
KEEMPAT
Kamu telah diberi banyak nikmat oleh Allah, tetapi kamu tidak bersyukur dengannya.
KELIMA
Kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak berusaha menentangnya.
KEENAM
Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
KETUJUH
Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuk lari daripadanya.
KELAPAN
Kamu berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia menghadapinya.
KESEMBILAN
Kamu bangun dari tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
KESEPULUH
Kamu melihat atau menziarahi kematian, tetapi kamu tidak mengambil iktibar (pengajaran) daripadanya.

Allahuakbar. Mari kita apply sebab-sebab di atas untuk bulan tarbiah Ramadhan ini, berdasarkan realiti semasa.

Pertama : Kita tahu Allah mewajibkan puasa pada bulan Ramadhan, namun kita tidak berusaha melaksanakannya dengan sempurna malah ibadah wajib yang lain seperti solat lima waktu juga dilakukan sambil lewa.
Kedua : Terdapat banyak hadis-hadis daripada Rasulullah SAW berkenaan Ramadhan dan galakan beribadah di dalamnya, namun kita tidak se-excited para sahabat Rasulullah SAW untuk melakukannya.
Ketiga: Kita berlumba-lumba untuk khatam dalam masa 30 hari,bertadarus sana-sini, namun tidak belajar untuk memahami dan beramal dengan isi Al-Quran. Maka apa yang dibaca tidak akan terkesan di hati seterusnya tidak membuahkan amal.
Keempat : Terlalu banyak nikmat Allah di dalam bulan barakah ini dan di dalam segala segi, namun kita masih mengikut telunjuk nafsu yang akhirnya menjauhkan kita dari mensyukuri kurniaan Ilahi.
Kelima : Walaupun syaitan digari, kita tewas dengan nafsu dan hasutan syaitan manusia yang terus-terusan menguji iman kita.
Keenam: Kita tahu bahawa Rasulullah SAW berkata bahawa pintu syurga dibuka seluas-luasnya di dalam bulan Ramadhan, namun kita bagai endah tak endah pada ‘jemputannya.’
Ketujuh : Allahuakbar, bulan agung inilah yang telah menutup pintu neraka serapat-rapatnya! Kita tidak mahu ‘pulang’ ke sini tetapi jalan yang kita pilih seakan membina saham untuk membuka pintu Jahanam kembali.
Kelapan : Kita tidak tahu apakah kita diberi peluang lagi untuk merasai Ramadhan pada tahun hadapan, namun amalan kita ibarat kita pasti masih ada lagi esok bagi kita.
Kesembilan : Puasa bukan sekadar menahan diri daripaad makan dan minum. Tetapi realiti sekarang hanya itulah sahaja yang manusia mampu bertahan. Puasa mata, mulut, anggota tidak dijaga sama sekali. 
Sabda Rasulullah SAW,
Berapa ramai orang yang berpuasa namun hanya mendapat rasa haus dan lapar
(Riwayat Ibn Majah)

Kesepuluh : Dikhabarkan pada kita individu-individu yang dipanggil Allah sebelum dan semasa Ramadhan. Roh mereka menangis kerana tiada lagi peluang untuk beramal untuk akhirat mereka. Kita lihat, kita sedih. Kemudian kita lupa bahawa giliran kita tidak menentu masa.

Itulah kita, bersama qalbu terisi iman dan nafsu. Barangkali inilah yang menjadi hijab antara kita dan Allah, hingga hati tidak bergetar dan mata tidak mahu menangis. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada menjadi orang-orang yang rugi di dalam bulan keberkatan ini.

Maka saudara-saudaraku yang dikasihi,
Kembalilah kepada fitrah diri kita sebagai hamba. Insafi diri yang penuh kelemahan dan hanya mengharap kekuatan daripadaNya, Pencipta yang Agung. Moga Syawal yang bakal hadir menjadi pelengkap kepada rasa tunduk dan patuh(taqwa) kita pada Allah melalui usaha untuk kekal istiqamah dengan amalan-amalan setelah keluar daripada Madrasah Ramadhan ini. Moga Allah pilih kita lagi untuk merasai nikmatnya berada di dalam bulan penuh keberkatan dan menerima semua amalan-amalan kita selama ini.

Dalam sebuah riwayat hadis, berkata Wathilah :
“Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada Baginda: Taqabbalallahu minna wanimkum (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: ‘Ya, taqabbalallahu minna wa minkum’.
(Riwayat al-Baihaqi)

Salam penghujung Ramadhan al-Mubarak.

Salam Aidilfitri yang mulia.


Al-huda
28 Ramadhan 1432 

No comments: