Assalamualaikum wbt saudaraku kerana Allah, moga sentiasa dalam peliharaanNya.
*****************
Ketika memandu di jalan yang tidak rata dan berlubang, apakah yang anda lakukan?
Ketika meredah hutan mendaki bukit ketika sedang beriadah bersama rakan-rakan, langkah bagaimana yang akan anda ambil?
Ketika sedang meredah sungai yang dasarnya dipenuhi batu-batu untuk ke seberang, berapa banyak perhatian anda pada setiap langkahanmu?
Juga, ketika melalui jalan yang penuh duri, bagaimanakah anda akan menempuhnya?
Tiada cara berjalan yang lain, melainkan berjalan secara berhati-hati agar tidak terbabas apabila tayar termasuk lubang, tidak terjatuh ketika sedang mendaki, tidak tergelincir ketika sedang menyeberang, dan tidak terluka ketika sedang melalui jalan berduri.
Ini respond manusia, respond yang dipengaruhi oleh pancaindera kita terutamanya mata yang melihat risiko-risiko yang bakal dihadapi jika tersilap melangkah. Respon yang dihantar ke otak untuk mentafsir dan mengawal pergerakan kaki agar berhati-hati dan anggota lain untuk bersedia untuk sebarang kemungkinan. Tidak dinafikan, kedua mata anugerah Allah ini cukup bernilai bagi setiap individu yang dilahirkan mampu untuk melihat.
Namun, bagaimana dengan respon iman terhadap apa yang kedua mata ini lihat di sekelilingnya?
Mari, duduk seketika bermuhasabah tentang sejauh mana mata kita ‘berhati-hati’ terhadap apa yang kita lihat.
Realiti persekitaran
Dunia, dan segala isinya hampir penuh dengan perkara yang memenuhi kehendak musuh iman. Siapakah musuh iman? Dialah AN-NAFS, yang mendiami diri manusia sejak azali, yang sukar untuk mengakui bahawa dirinya adalah hamba Allah sebelum Allah izinkannya mendiami tubuh sebaik-baik ciptaanNya, yakni manusia.
Maka kepada saudara-saudaraku yang masih mampu melihat dengan mata zahirmu, pandanglah ke sekeliling! Kemudian bermuhasabahlah. Apa masih persekitaranmu mentaati Allah? Apa masih persekitaranmu wujud suasana soleh yang mendorongmu untuk mencari redha Allah? Apa masih ada lagi saudara-saudaramu yang sama-sama mengajakmu menjaga mata pandangan daripada memandang perkara yang haram buatmu?
Astaghfirullahal azim...
Jadi bagaimana anda boleh berhati-hati dalam perkara zahir seperti lubang, duri dan batu, tetapi buta dan leka apabila berdepan dengan perkara di persekitaranmu yang turut menggunakan pancaindera yang sama?
Semuanya kerana mata lahiriah kita, tidak punya ‘sesuatu’ yang dipunyai oleh mata hati. Namun perbandingan antara keduanya, cukup untuk membuat kita berfikir sejenak. Itulah AL-IMAN, yang seharusnya mendasari setiap anggota, setiap langkah, setiap detik, setiap nafas malah setiap degupan jantung kita!
Iman mendasari mata hati
Yakin, percaya, membenarkan dan tunduk kepada Allah yang Esa dan mengikuti ajaran PesuruhNya adalah asas kepada jati diri manusia. Asas inilah yang diperlukan untuk setiap daripada kita menjadi lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang kita lihat, kita buat dan kita pilih. Juga keyakinan inilah yang bakal menentukan respond kita terhadap perkara-perkara di sekeliling kita.
Daripada Rasulullah SAW:
Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
(HR Muslim)
Hakikatnya, manusialah yang memerlukan iman. Manusialah yang perlu menjaga dan memelihara imannya. Kelalaian menjaganya tidak merugikan sesiapa, tetapi merugikan diri kita sendiri juga akhirnya.
Maka saudaraku, saya ingin tanya semula kepada anda. Bagaimana respond iman anda apabila melihat dunia dan realitinya?
Jika masih ada terasa sedih dengan realiti manusia, suburkanlah rasa itu dengan usaha untuk memperingatkan mereka.
Jika terasa marah dengan tindakan manusia lain, kawal rasa itu dan ubah dengan menegur secara bijaksana.
Jika terasa bahagia dengan suasana soleh yang telah tercipta, alhamdulillah dan peliharalah ia.
Jika anda tidak punya rasa, getaran atau tidak tersentuh hati anda pada setiap yang berlaku, maka sujudlah kembali, memohon keampunan pada Allah kerana bimbang sudah kehilangan hati dan sensitiviti imannya.
Kerana secara lahiriah dan ruhaniahnya, kita seharusnya berhati-hati.
Moga Allah beri kekuatan.
No comments:
Post a Comment