photo from generalwaruchi.blogspot |
Di dalam kalangan para Rasul, dia
memiliki umur yang paling panjang.
Sebagaimana para Rasul yang lain,
dia berdakwah kepada kaumnya siang dan malam.
Siangnya dia di kampung lain
menyeru penduduknya agar mengesakan Allah, pada malam hari dia di tempat yang
lain, setia menjalankan amanah yang sama seperti hari dan waktu sebelumnya.
Barangkali, jumlah pengikutnya
antara yang paling sedikit berbanding rasul-rasul yang lain. Tempoh dakwah
antara yang paling lama, bersama jumlah orang beriman yang paling sedikit.
Dia juga mempunyai keluarga.
Namun tidak semua anak-anaknya beriman kepada agama yang dibawa oleh Nuh. Tak
pernah ada sehari pun dia berputus asa untuk memujuk anaknya agar mengesakan
Allah, hinggalah di saat-saat genting tatkala bah besar melanda, harapannya
masih ada. Namun Allah lebih mengetahui, anaknya angkuh untuk teruskan
pendakian ke tempat tinggi tetapi akhirnya gagal menyelamatkan diri.
Hati Nuh merintih.
‘Dia (Nuh) berkata, “Ya Tuhanku,
sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam.
Tetapi seruanku itu tidak
menambahkan iman mereka, malah mereka lari daripada kebenaran.
Dan sesungguhnya setiap kali aku
menyeru mereka untuk beriman agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan
anak jari ke telinganya dan menutupkan wajahnya dengan baju dan mereka tetap
mengingkari dan sangat meyombongkan diri.”
Dia mengadu sepuas hati kepada
Allah. Menangis semahunya merayu kepadaNya. Kebimbangan yang dibebani oleh Nuh
teramat besar. Sama ada kaumnya beriman atau kafir, itu lah yang akan menjadi
corak kepada generasi yang akan datang. Generasi yang beriman dan bersyukur
dengan nikmatNya atau generasi yang tidak gentar melanggar perintah Tuhan.
Allahuakbar..
Janji Allah pun berlaku. Langit
melimpahkan kandungannya, dan bumi memancarkan airnya. Bah besar berlaku dengan
sangat pantas. Tiada tempat berlindung, melainkan golongan yang telah
dilindungi oleh Allah, di dalam bahtera bersama pelbagai jenis haiwan atas
arahan Allah SWT.
‘Binasalah orang-orang yang zalim’.
JanjiNya disempurnakan, banjir
surut seperti sediakala. Namun hati Nuh tetap hiba terkenang anak tersayang yang turut
sama ditimpa azab. Kesedihan dan harapan Nuh yang tidak berbelah bagi pada
anaknya ditegur oleh Allah kerana memohon sesuatu yang tidak diketahui Nuh akan
hakikat sebenarnya.
“Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu
bapaku, dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau
tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran”.
********************************************************************************************
Surah Hud, 12: 25-49
Surah Nuh, surah ke 71 daripada
mula sampai habis.
Adikku,
Mari muhasabah kisah Nuh yang
mulia. Setiap barisan cerita dan rintihannya di dalam Al-Quran, setiap satunya
memberi ibrah yang berbeza.
Suratul Hud berkisar berkenaan
arahan Allah dan suasana yang berlaku ketika itu.
Suratul Nuh khusus berkenaan
rintihan Nuh pada Allah, tiada kisah sirah walaupun seayat.
Ibrah yang sangat terkesan pada
jiwa kita tentang kesungguhan Nuh menyampaikan dakwah- kecintaan Nuh pada
keluarga dan kaumnya agar terselamat daripada azab Allah- fitrah manusia yang
punya limitasi dan akhirnya kembali pada Sang Pencipta untuk memohon kekuatan- juga
takdir-takdir Allah yang berada di luar pengetahuan kita sebagai hamba…
Hentikan tangisanmu, adikku.
Allah sentiasa bersamamu. Orang-orang mukmin sentiasa bersamamu.
Mari, kita bersabar seperti Nuh.
Berusaha seperti Nuh. Bertawakal juga seperti Nuh.
May Allah loves you more than I
do.
2 comments:
Subhanallah, kak Huda, Jazakillahukhairan kathira kak Huda, di atas perkongsian yang sangat hebat ini.
Sesungguhnya taufiq dan hidayah itu adalah milik Allah, marilah kita sama-sama meneruskan amanah menjalankan usaha menyebarkan Islam, semoga Allah terus kuatkan hati-hati kita dan terus istiqamahkan hati-hati kita di atas jalan Islam. Allahumma amin..
Post a Comment