Saturday, June 15, 2013

Adab bertunang dalam Islam

Assalamualaikum wbt, 

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian pada Allah swt yang Maha Memelihara, sepanjang-panjang rasa syukur padaNya yang Maha Mendengar dan Memberi, sesungguhnya kita sebagai hamba sentiasa fakir dan memerlukan Allah yang Maha Mengurniakan. 

Mengenangkan sahabat fillah yang paling hampir dengan saya akan bertukar status minggu hadapan, rakan 'kembar' saya pula dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, rakan susah senang saya yang sedang dirisik dan beberapa sahabat fillah saya yang lain, suka untuk saya kongsikan sedikit ilmu terkait khitbah(pertunangan) pada post kali ini. Moga ia bermanfaat untuk semua, insyaAllah. 

Di bawah ini adalah terjemahan petikan daripada buku tulisan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan bertajuk Adab al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjayn (Adab-adab Pertunangan, Perkahwinan dan Hak-hak suami/isteri), fasal keempat yang menceritakan asas-asas peminangan perempuan. 

All credits go to the writer and translator, semoga Allah merahmati penulis ini yang juga terkenal dengan bukunya Tarbiyatul Aulad(Pendidikan Anak-anak) dan penterjemah yang sudi berkongsi, moga Allah berkati segala usahanya dan menambahkan lagi tingkatan ilmunya untuk manfaat Islam. 

(Minta maaf atas susunan sebahagian daripada teks yang agak lari alignment nya)

************************************************************************************************************

FASAL KEEMPAT

Asas-Asas Peminangan Perempuan

Islam dengan Syariatnya yang bersifat kekal, prinsip-prinsipnya yang bertolak ansur, ia telah mengatur beberapa dasar berkaitan pertunangan. Ia juga telah meletakkan aturan-aturan yang praktikal dalam menuju alam rumahtangga. Dasar dan prinsip ini jika diikuti oleh pemuda dan kaum muslimin ketika memilih pasangan hidup, nescaya pertunangan mereka akan berjaya dan perkahwinan mereka akan bahagia. Bahkan akan lahir rasa cinta dan kasih sayang antara mereka dengan kehidupan dinaungi bayangan perkahwinan yang harmoni atas dasar muafakat dan saling memahami antara satu sama lain.

Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan pertunangan?

Dan apakah asas-asas yang berkaitan dengannya?

Pertunangan dapat diertikan dengan tindakan seorang lelaki meminang seorang perempuan sebelum berlakunya proses akad nikah. Ia dilakukan untuk mengetahui sama ada hajatnya itu diterima atau ditolak. Proses peminangan dibuat dengan mengumpul maklumat-maklumat yang mencukupi berkenaan si perempuan yang ingin dipinang. Ia boleh dilakukan oleh peminang itu sendiri atau wakilnya yang dithiqahi (dipercayai) dari kalangan keluarganya atau sahabat-sahabatnya.

         Pertunangan bertujuan agar pasangan yang ingin berkahwin dapat menempuh gerbang perkahwinan dalam keadaan pemikiran yang mendalam serta mendapat hidayah, sekaligus dapat menghindari masalah serta pertelingkahan dalam kehidupan rumatangga yang mungkin timbul pada masa akan datang, dan pada masa yang sama, ia dapat mengeratkan lagi ikatan antara keluarga suami dan keluarga isteri serta anak-anak dan sanak saudara mereka.

Dasar-dasar berkaitan peminangan adalah merujuk aturan berikut:

1) Melihat wanita yang ingin dipinang
   Islam telah mensyariatkan agar peminang melihat perempuan yang ingin dipinangnya. Begitulah juga si perempuan disyariatkan melihat si lelaki. Ia bertujuan untuk mengetahui dengan jelas siapa gerangan yang bakal menjadi pasangan (bagi menghabiskan) umur dan menjadi rakan kongsi kehidupan mereka. Asas pensyariatan ini adalah merujuk kepada kisah al-Mughirah bin Sh'ubah ketika mahu meminang seorang perempuan, lalu baginda Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam berpesan kepadanya:

انْظُرْ إِلَيْهَا، فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا
Tengoklah perempuan itu. Mudah-mudahan ia dapat mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”. 
(HR al-Bukhari, al-Turmidhi, al-Nasa’i dan Ibn Majah)

 Hadis ini menunjukkan bahawa melihat pasangan itu boleh membawa kepada penerusan kasih sayang dan kelunakan hati. Hadith yang lain pula mengisahkan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi sallallahu Ñalayhi wa sallam lalu menyuarakan hajat ingin menikahi seorang perempuan dari kalangan kaum al-Ansar. Lalu Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam bertanya: “sudahkah kau tengok perempuan itu?” dia menjawab: “belum”. Baginda pun menerangkan:

فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا (يعني الصغر)
Tengoklah dia. Kerana pada mata kaum al-Ansar itu ada keunikan (matanya sepet)”. 
(HR Muslim dan al-Nasa’i)

Walau bagaimanapun, dalam proses menengok ini ada adab-adabnya yang perlu dijaga:
            i. Tak boleh peminang melihat si perempuan kecuali setelah dia benar-benar berazam mahu berkahwin. Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

إِذَا أَلْقَى اللَّهُ فِي قَلْبِ امْرِئٍ خِطْبَةَ امْرَأَةٍ فَلا بَأْسَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا
Jika Allah telah menggerakkan hati seorang lelaki untuk masuk meminang perempuan, tiada salahnya untuk dia melihat perempuan itu
 (HR Ahmad dan Ibn Majah)

          ii.Tak boleh peminang melihat perempuan kecuali pada anggota muka dan dua pergelangan tangannya sahaja. Ini kerana tuntutan melihat (di dalam hadis) hanya terbatas kepada anggota yang dua itu lantaran muka itu umpama pancaran anggota badan manakala dua pergelangan tangan adalah anggota yang terzahir menurut adat.

   Tuntutan melihat yang hanya menghadkan kepada muka dapat difahami melalui pesan Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam kepada seorang lelaki: “Tengoklah dia. Kerana pada mata kaum al-Ansar itu ada keunikan”. Manakala tuntutan melihat yang membataskan hanya kepada muka dan dua pergelangan tangan adalah berdasarkan kisah Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam yang menghantar Ummu Sulaym untuk meminang seorang perempuan, lalu Baginda berpesan kepadanya:

 اُنْظُرِي إِلَى عُرْقُوبَيْهَا وشُمِّي عَوَارِضَهَا
 “Lihatlah kedua kakinya dan ciumlah pipinya”. 
(HR al-Hakim)

Jika melihat kepada selain muka dan dua pegelangan tangan itu diharuskan, maka sudah tentu Baginda sendiri yang akan melakukannya.

           iii. Dibolehkan untuk melihat si perempuan berulang kali agar bayangan calon isteri meresap pada perasaan. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis: “lihatlah perempuan itu” yang tidak meletakkan had melihat sama ada sekali, dua kali atau berulang-ulang kali.

        iv. Semasa majlis pertunangan berlansung, dibolehkan untuk perempuan bercakap dengan si lelaki, begitulah juga sebaliknya. Keharusan ini merujuk kepada pendapat majoriti fuqaha yang berpandangan bahawa suara wanita bukanlah aurat. Sungguh Nabi sallallahu 'alayhi wasallam sendiri bercakap dengan perempuan dan Baginda mendengar bicara mereka. Begitu juga para Sahabat ridwanullahi 'alayhim, mereka bertanyakan isteri-isteri Nabi di sebalik tabir akan perihal hadis dan hukum-hakam.

          v.Tak boleh bersalaman dengan si perempuan sebelum berlakunya akad nikah dalam apa keadaan sekalipun, kerana dia tetap ajnabiyyah (wanita asing) dan ajnabiyyah ini diharamkan bersalaman dengannya. Peraturan ini adalah bersumberkan kalam ‘A'ishah radiyallahu 'anha bahawa:

وَاللهِ مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُولِ اللهِ يَدَ امْرَأَةٍ قَطْ
Demi Allah! Nabi sama sekali tidak menyentuh tangan wanita ketika berbai'ah. Bai'ah itu dilakukan dengan kata-kata” (HR al-Bukhari)

          vi. Tak dibolehkan berdua-duaan antara pasangan bertunang kecuali dengan kehadiran mahram si perempuan kerana Islam mengharamkan bersendirian dengan perempuan ajnabiyyah. Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam menegaskan:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ وَلا تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلاَّ وَمَعَهَا مَحْرَمٌ
Ketahuilah! Janganlah seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan dan jangan juga bermusafir dengannya kecuali disertai oleh mahramnya”. (al-Bukhari dan Muslim)

           vii. Dibolehkan untuk peminang melihat si perempuan dalam keadaan tanpa disedarinya seperti mana sabda Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam:

إذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً، فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ، إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِلْخِطْبَةِ إِذْ كَانَتْ لا تَعْلَمُ
Jika seseorang di antara kamu meminang perempuan, maka tiada halangan untuk kamu melihatnya, walaupun dia tidak mengetahui”. (HR Ahmad)
Islam telahpun menggariskan adab-adab yang perlu dipatuhi pasangan bertunang. Siapa yang melampui batasannya dan mengambil jalan yang bukan dari Islam, maka dosalah yang layak untuknya dan dia telah menyanggahi Syariat.

Dukacita jika kita menyorot realiti masyarakat hari ini, kita akan mendapati kebanyakan mereka mengambil mudah urusan pertunangan dan ia berlaku dalam bentuk dua kelompok:

Pertamanya, kelompok yang menghalalkan segala macam cara pergaulan tanpa dibatasi adab sopan dan peraturan Islam. Mereka bebas bergaul dengan pasangan tunangnya sesuka hati tanpa had, dengan alasan, mahu mengenali akhlak dan tabiat perangai pasangan masing-masing. Ketahuilah bahawa alasan ini adalah batil lagi tertolak. Bahkan Islam sungguh-sungguh memerangi perbuatan ini kerana ia menafikan prinsip kemuliaan wanita dan sistem Islam itu sendiri.

Sesungguhnya bagi yang mempunyai akal dan kecerdikan, pasti dapat melihat bahawa pergaulan bebas lagi tiada akhlak ini akan membawa kepada kebobrokan sahsiah dan hubungan yang meragukan. Imej perempuan boleh jadi dipandang buruk, bahkan jauh lebih buruk dari si lelaki kerana apabila si perempuan ditinggalkan dengan alasan dia tidak sesuai dengan si lelaki, maka akan ditohmahlah maruah si perempuan ini dan dibuat bahan pelecehan masyarakat. Akibatnya, jadilah dia anak dara tua yang tak laku dengan harga seperti barang buangan.

Bagi orang yang mempunyai kefahaman, pasti dia dapat menyedari bahawa di dalam pergaulan bebas ini, pelakunya tidaklah dapat mengetahui akhlak tunangnya kerana masing-masing berpura-pura ibarat berlakon di atas pentas lawak lagi dusta.  

Sudah berapa banyak kita dengar tentang pertunangan yang tidak berakhlak ini gagal mengecapi kedamaian rumahtangga, gagal mencapai cinta dan kelembutan antara suami isteri, bahkan  pertunangan yang berdosa ini diakhiri dengan penceraian. 

Keduanya, kelompok yang fanatik dan keras tanpa dikawal dengan akhlak Islam. Mereka menolak sunnah Nabi dalam melihat tunang, bahkan ada ibu bapa yang terlalu berkeras hingga melarang si lelaki melihat anak perempuan mereka kecuali setelah tiba malam pertama.

Bagi orang yang faham dan berfikir, dia akan mengetahui bahawa sifat berkeras ini bukan dari Syariat Islam. Bahkan dalam kebanyakan situasi, sifat terlalu berkeras inilah yang menghilangkan nikmat perkahwinan dan kebahagiaan rumah tangga. Akibatnya, anak perempuan tidak dipinang orang dan duduklah dia di penjuru rumah bersama mereka yang tak laku.

Oleh itu, bagi pasangan yang bertunang, begitu juga para penjaga anak perempuan, beriltizamlah kalian dengan batasan-batasan Allah 'azza wa jalla dalam menguruskan pertunangan dan perkahwinan. Jika kalian mahukan kemuliaan seorang wanita, kesolehan seorang lelaki, keselamatan rumahtangga serta masyarakat yang berakhlak, maka cermatilah ayat ini:
 تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَا‌ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Itulah batasan-batasan Allah maka jangan kamu melampauinya! Siapa yang melanggar batasan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” 
[al-Baqarah:229]

2)      Masuk meminang tunangan orang lain
Jika seorang lelaki yang baik agamanya masuk meminang seorang perempuan yang bagus akhlaknya, lalu pinangannya diterima oleh si perempuan dan keluarganya, maka diharamkan bagi lelaki lain untuk masuk meminangnya kecuali jika putus ikatan pertunangan tadi atau lelaki itu memberi izin. Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam telah bersabda:

لا يَخْطُبِ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الخَاطِبُ قَبْلَهُ، أَوْ يَأْذِنَ لَهُ الخَاطِبُ
 Janganlah seorang lelaki meminang atas pinangan saudaranya hinggalah peminang yang terdahulu meninggalkan atau mengizinkannya.” (HR al-Bukhari)   

      Telah sedia maklum bagi orang yang mempunyai akal fikir bahawa pertunangan atas pinangan orang lain ini akan menerbitkan rasa dendam, mewariskan sifat dengki, merosakkan ummah, menghancurkan kesatuan jama'ah serta membarahkan lagi akar adu domba dan umpatan di kalangan kaum muslimin. Sungguhpun demikian, dalam isu meminang perempuan yang menjadi tunangan lelaki fasiq, Ibn al-Qasim berpandangan ia diharuskan dan pandangan beliau disokong oleh Ibn al-'Arabi al-Maliki.

      Pandangan ulama mazhab Maliki ini bertepatan dengan nas-nas Syariat pada membahaskan kriteria yang perlu ada bagi seorang lelaki iaitu mestilah dia seorang muslim yang memiliki keindahan akhlak dan pegangan agama. Pandangan ini juga selari dengan kaedah fiqh iaitu: “menolak kemudaratan lebih diutamakan dari mencapai kemaslahatan.” Oleh yang demikian, tercapailah maslahat perkahwinan apabila seorang lelaki mampu mengajak pasangannya kepada Islam. Kalaulah ada ibu bapa yang merelakan anak perempuannya dinikahi lelaki fasik lagi jahat, ketahuilah sesungguhnya mereka telah mengabaikan timbangan neraca agama dan akhlak Islam.

3)       Meminang perempuan yang masih dalam tempoh 'iddah
Jika seorang perempuan yang masih menjalani tempoh Ñiddah, sama ada ia disebabkan kematian atau diceraikan suaminya, maka haram bagi orang lain untuk masuk meminangnya hinggalah tamat tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, adalah diharuskan bagi lelaki untuk menyuarakan hajat untuk meminang dalam bentuk isyarat tidak lansung, contohnya dengan mengatakan: “jika dah habis tempoh 'iddah kau, beritahulah aku”. Ini berdasarkan firman Allah:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ فِيمَا عَرَّضۡتُم بِهِۦ مِنۡ خِطۡبَةِ ٱلنِّسَآءِ أَوۡ أَڪۡنَنتُمۡ فِىٓ أَنفُسِكُمۡ‌ۚ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ سَتَذۡكُرُونَهُنَّ وَلَـٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّآ أَن تَقُولُواْ قَوۡلاً۬ مَّعۡرُوفً۬ا‌ۚ
Tiada halangan bagi kamu untuk meminang wanita (yang masih dalam 'iddah) dengan konotasi implisit atau kamu simpan (hajat untuk mengahwini mereka) di dalam hati kamu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut atau menngingati mereka (dan yang demikian itu tak salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka secara sulit selain dari mengungkapkan ucapan (implisit) yang sopan” [al-Baqarah: 235]

      Pada kesempatan ini, saya (penulis) ingin menjelaskan isu cincin pertunangan, di mana cincin emas pertunangan adalah diharamkan untuk lelaki memakainya. Ada dua sebab yang mendasari larangan ini:

Pertamanya: Taklid (terikut-ikut) secara membuta tuli dan menyerupai kaum lain. Rasulullah melarang kelakuan ini berdalilkan hadis daripada 'Abdullah bin 'Amr radiyallahu 'anhuma bahawa Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا لَا تُشَبِّهُوا ‏‏بِالْيَهُودِ ‏وَلَا‏ ‏بِالنَّصَارَى

 “Bukan dari kalangan kami mereka yang meniru-niru kaum selain kami. 
Janganlah kalian meniru orang Yahudi dan Nasrani”. 
(HR al-Turmidhi)

Begitu juga apa yang diriwayatkan daripada Ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma, bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

 مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.” (HR Ahmad dan Abu Dawud)    

      Larangan meniru-niru di dalam hadis tersebut ditujukan kepada lelaki dan perempuan dengan arahan yang sama.

Keduanya:  Telah diharamkan pemakaian emas bagi lelaki. Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam telah melarang kaum lelaki memakai cincin emas berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ashab al-Sunan dan al-Imam Ahmad, daripada 'Ali radiyallahu ‘anhu menceritakan bahawa Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam pernah mengambil sehelai sutera lalu diletakkan di kanannya. Kemudian Baginda mengambil seketul emas lalu diletakkan di kirinya dan bersabda: “Sesungguhnya dua benda ini adalah haram untuk kaum lelaki ummatku”. Ibn Majah menyatakan hadis ini ada tambahannya iaitu: “Halal untuk perempuan.

      Diriwayatkan pula oleh Muslim dan Ibn Hibban, daripada Ibn 'Abbas radiyallahu 'anhuma menceritakan bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam telah terlihat sebentuk cincin emas pada tangan seorang lelaki, lalu Baginda terus menanggalkannya dan membuangnya sambil bersabda: “Salah seorang di antara kamu dengan sengaja meletakkan seketul bara api neraka di tangannya.” Setelah Rasulullah berlalu pergi, seorang sahabat berkata kepada lelaki tersebut: “Ambillah semula cincin itu dan manfaatkannya.” Namun lelaki itu menolak: “Tidak! Demi Allah aku sama sekali tidak akan mengutip sesuatu yang telah dibuang Rasulullah.”  Adapun pemakaian cincin perak bagi kaum lelaki, yang mana ia bukan untuk pertunangan, maka perbuatan itu dibolehkan bahkan ia adalah sunnah menurut Syarak.



( 'Ulwan, 'Abd Allah NasihAdab al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjayn (t.tp: Dar al-Salam, 1983), 47-59.)

Wallahu a'lam.